Tumpuan
>> Thursday, December 18, 2008
Kegagalan memberikan tumpuan dalam kelas menyebabkan ramai mahasiswa gagal meraih keputusan yang baik dalam peperiksaan. Berikut adalah petua yang boleh digunakan untuk meningkatkan tumpuan antum:
* Semak seimbas nota yang telah diberikan oleh pensyarah terdahulu sebelum memulakan kelas. Sekiranya ada bahagian yang antum tidak faham atau keliru maka tanyakan pada pensyarah sebelum bermulanya kelas tersebut. Jangan biarkan ketidakfahaman atau kekeliruan itu mengganggu antum. Pensyarah mungkin akan mengajar lebih mendalam hari ini dan sekiranya antum tidak merungkai kekeliruan itu antum akan terus ketinggalan dalam mengikuti apa yang diajar.
* Baca juga bahan yang bakal diajarkan oleh pensyarah nanti. Walau pun antum tidak memahami keseluruhan apa yang dibaca sekurang-kurangnya antum tahu apa yang akan diajar oleh pensyarah kelak. Secara tidak langsung tumpuan dan minat antum meningkat.
* Cuba duduk di barisan depan dalam kelas. Sekiranya antum duduk di tepi tingkap, tutup tingkap ketika pensyarah mengajar. Jangan alih mata antum dari melihat pensyarah dan lihat apa yang ditulis di papan putih.
* Tunjukkan minat yang mendalam. Perbetulkan kedudukan antum dan ceriakan wajah antum. Ingat apa yang diajar itu jauh lebih penting daripada siapa yang mengajar. Yakinkan diri antum betapa pentingnya tumpuan dalam kelas. Ingat!! Ia menyumbang 50% dari keseluruhan markah peperiksaan kelak.
* Pasang telinga. Dengar dan fahami setiap patah perkataan yang disampaikan. Terjemahkan apa yang disampaikan oleh pensyarah ke dalam bentuk gambaran minda.
* Catat setiap fakta penting atau fakta yang antum sangka penting, sama ada fakta-fakta yang ditulis atau yang diucapkan oleh pensyarah.
* Catat setiap perkara yang antum tidak faham. Catatkan juga setiap soalan yang terbit dalam fikiran antum. Gunakan tujuh perkataan berikut untuk membina soalan Apa? Siapa? Bila? Berapa? Dimana? Kenapa? Bagaimana?
* Gunakan buku khas untuk tujuan catatan ini, atau gunakan kaedah mengambil nota berkesan. Sekiranya berpeluang segera angkat tangan dan tanya pensyarah. Tanya untuk dapatkan lebih huraian; tanya untuk memastikan kefahaman antum betul; atau tanya kerana ada soalan-soalan yang lebih spesifik. Antara tanda-tanda yang antum telah memberikan tumpuan ialah antum TAHU apa yang antum TIDAK TAHU.
* Jangan hiraukan sebarang gangguan dari rakan-rakan. Jangan bertindak balas terhadap usikan dan gurauan mereka ketika kelas berjalan. Kajian menunjukkan bahawa antum lupa 80% dari apa yang telah dipelajari dalam masa 24 jam. Oleh itu segera menyemak apa yang telah diajar serta merta apabila pensyarah keluar dari kelas
0 comments:
Post a Comment