Asimo Kini Mampu Mewarna Batik
>> Sunday, December 14, 2008
ASIMO menunjukkan kemampuannya melukis batik di Pulau Pinang.
BERTERASKAN prinsip The Power of Dreams' (Kuasa Impian), Asimo, robot yang terkenal dengan sifat serba bolehnya itu sekali lagi membuktikan keupayaan fleksibilitinya ketika mengadakan kunjungan ke Pulau Pinang, baru-baru ini.
Kunjungan robot humanoid tersebut ke negeri berkenaan telah membuatkan para pengunjung yang hadir ketika sesi demonstrasi itu teruja dengan kehebatan dan kebolehan yang dipamerkan Asimo, sekali gus mengakhiri lawatannya ke negara ini.
Lebih mengagumkan, ketika mengadakan pertunjukan itu, Asimo turut sempat menunjukkan aksi mewarnakan batik serta berjoget mengikut irama lagu Rasa Sayang.
Ini bermakna, Honda sebagai pencipta Asimo telah berjaya untuk merealisasikan impian dan matlamat penciptaannya menerusi keupayaan yang ditonjolkan oleh robot tersebut dan ini termasuk kebolehannya untuk berlari, menari, menyepak bola mahu- pun menghantar air kepada tetamu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Honda Malaysia, Atsushi Fujimoto, Honda mengimpikan penciptaan sebuah robot humanoid yang lengkap dan kini impian tersebut telah menjadi realiti hasil daripada penghasilan Asimo.
"Kami akan sentiasa menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara berterusan dalam usaha mencipta robot yang paling ideal bagi tujuan mempermudahkan kehidupan manusia sejagat,'' katanya.
Terdahulu, Asimo telah dibawa khas ke negara ini untuk mengadakan pertunjukan sepanjang bulan November di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.
Sepanjang sebulan Asimo di negara ini, robot tersebut telah mengunjungi beberapa lokasi seperti Petrosains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Hospital Penang Adventist (PAH), gedung beli-belah 1 Utama di Selangor, City Square di Johor Bahru dan juga Queensbay Mall di Pulau Pinang.
Tambah Fujimoto, lawatan khas tersebut adalah bertujuan untuk memberikan sumber inspirasi dalam mengalakkan masyarakat Malaysia untuk mencapai impian sekali gus menyahut cabaran dalam usaha menukarkan impian menjadi kenyataan.
Asimo sebenarnya adalah satu manifestasi kejayaan daripada Honda setelah beberapa lama menjalankan R&D untuk melahirkan robot seakan- akan manusia.
Pada 31 Oktober 2000, dengan ketinggian 1.3 meter dan berat badan 54kg, robot Asimo, yang merupakan singkatan kepada Advanced Step in Innovative Mobility telah berjaya dihasilkan.
Lebih menarik, Asimo berkemampuan untuk bergerak bebas serta bertutur seperti manusia dan ini sekali gus menjadikan impian Honda menjadi kenyataan.
Asimo yang dilengkapi dengan teknologi terkini itu turut berkeupayaan untuk menari, menyepak bola, serta menghantar minuman.
Ini semua hasil daripada penerapan teknologi Intelligent Real Time Flexible Walking (i-Walk) yang secara tidak langsung membolehkan pergerakannya dilakukan dengan lebih pantas, stabil dan efisien.
Selain berupaya berjalan ke depan dan ke belakang, menaiki dan menuruni tangga serta bergerak lebih stabil di sekeliling penghadang, Asimo turut berupaya berlari sepantas enam kilometer sejam (km/j) iaitu sekali ganda daripada kemampuannya yang terdahulu, iaitu tiga km/j.
Lebih membanggakan, Asimo juga mampu berlari dan berpusing pada satu kedudukan selain berlari dalam bentuk bulatan.
Di samping itu, Asimo turut berupaya mengecam wajah manusia dan berinteraksi dengan mereka menerusi kamera yang diletakkan di matanya dan penggunaan Kad Litar Bersepadu (Intergrated Circuit Card).
0 comments:
Post a Comment