Mesra pengguna
>> Monday, June 1, 2009
TERTERA di bahagian belakang kotak telefon bimbit Nokia E75 ini yang mana ia direka untuk bekerja sambil menekankan empat ciri utama rekaan iaitu e-mel, bekerja, mudah diguna dan berhibur atau memenuhi masa lapang.
Memang benar seperti apa yang didakwa oleh pembuatnya itu kerana pengalaman kira-kira sebulan menguji E75 telah membuat penguji melekat dan sukar melepaskannya dari genggaman.
Apa tidaknya, e-mel terus diterima tanpa perlu membuka PC dan nak cari maklumat di Internet mudah bersambung menggunakan rangkaian pantas HSDPA.
Menariknya, penguji yang memasang kad SIM DiGi terus mendapat pesanan SMS selang beberapa minit selepas dipasang yang memberikan tetapan untuk MMS, WAP dan sebagainya.
Hebatnya, tanpa diberitahu kepada operator terbabit, namun mereka dapat mengesan model telefon bimbit baru yang kita gunakan.
Segalanya dipermudahkan, dari telefon hinggalah kepada penyedia perkhidmatan. Itu bermakna semua pihak sedar terutamanya pengeluar telefon dengan kepentingan pengguna yang mesti dipermudahkan atau dengan kata lain pengguna mendapat telefon yang mesra pengguna. Nokia E75 memenuhi kriteria itu.
Ketika makan bersama rakan di gerai mahupun restoran, E75 akan diletakkan di atas meja walaupun ia bukannya besar sangat untuk terus disimpan di dalam poket. Tapi, rasa gah memiliki E75 membuat penguji jadi begitu sambil terpesona melihat orang lain yang tertarik apabila melihatnya.
Penguji tahu, reka bentuknya akan menjadi tarikan, dapat pula warna merah yang menyerlahkan lagi keanggunannya.
Kerangkanya dibuat daripada bahan keluli tahan karat untuk menjadikannya mantap dipegang dan sukar terlepas dari tangan walaupun kecil.
Nokia E75 memiliki rekaan gelungsur sisi untuk menampakkan pad kekunci QWERTY yang dibahagi dua dengan pembahagi di tengahnya demi memudahkan pengguna membahagikan penggunaan jari tangan kiri dan kanan.
Tapi penguji kurang gemar dengan rekaan pad kekunci rata Nokia E75 itu kerana kurang selesa ketika menaip. Sering terlajak ke kekunci lain dan diharap pembuatnya dapat memikirkan untuk menggantikannya dengan kekunci timbul.
Untuk bercerita mengenai ciri dan fungsi Nokia E75, memang tak habis satu hari satu malam, tapi apa yang penting inilah telefon untuk bekerja atau berhibur.
Kebanyakannya sama dengan model terdahulu terutamanya e-mel yang boleh diseragam dengan pelbagai pelayan e-mel termasuk Exchange, Domino, Groupwise, IMAP, POP3 dan XML (tapi tidak menyokong pelayan BlackBerry).
Untuk menetapkan e-mel pun mudah, yang penting ada liputan 3G atau HSDPA bagi memastikan kepantasannya.
Paparan hadapannya juga boleh ditukar ganti dengan hanya satu klik sama ada paparan ketika di pejabat dengan tetapan ikon serius seperti e-mel, hubungan, Internet, SMS dan sebagainya, manakala di rumah pula kita tukar dengan paparan latar belakang serta ikon yang lebih relaks seperti SMS, kamera, radio dan game.
Kesimpulannya, tepuk dada tanya bajet. Kalau sesuai maka pertimbangkanlah Nokia E75 sebagai gantian kepada telefon sedia ada.
PRODUK: Nokia E75
HARGA: RM1,950
PENGELUAR: Nokia Inc
PERTANYAAN: Nokia Malaysia Sdn Bhd
TELEFON: 1-300-881-600
LAMAN WEB: www.nokia.com
0 comments:
Post a Comment