LED bina jiwa manusia
>> Monday, June 1, 2009
SEPERTI kata Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Philips Lighting, Rudy Provoost, pencahayaan menggunakan teknologi Diod Pancaran Cahaya (LED) adalah masa depan kerana kaedah itu bukan saja memberi 'cahaya' baru kepada dunia malah menjadikan bumi lebih hijau kerana ciri-ciri mesra alamnya.
Itulah konsep yang dipegang Philips Lighting dalam usaha mewujud dan melahirkan sistem teknologi pencahayaan yang akan memberi lebih jiwa kepada manusia di dunia.
Teknologi LED adalah cara pencahayaan yang tidak menggunakan mentol biasa, sebaliknya menggunakan berjuta-juta plat cahaya yang memberi kesan dinamik dan tidak dapat diperoleh daripada pencahayaan konvensional.
LED boleh diserasikan dengan mudah di dalam perabot, dinding, siling malah di mana-mana saja yang diinginkan kerana sifat fizikalnya yang 'tersembunyi' berbanding penggunaan mentol biasa.
Malah ia lebih mudah diprogramkan bagi penggunaan bidang kreatif termasuk seni pentas dan antara yang menggunakannya adalah teater Shrek The Musical on Broadway yang sedang dipentaskan di Broadway, New York.
Bola Cahaya Times Square yang menjadi antara mercu tanda kota Metropolitan New York juga menggunakan LED bagi memberi pencahayaan unik dan kesan lebih dinamik.
Penggunaan LED digemari arkitek kerana keajaiban pencahayaan boleh dihasilkan tanpa perlu melihat mentol bergantungan secara fizikal seperti kebanyakan sistem pencahayaan kini.
Sebenarnya LED bukanlah teknologi baru tetapi sebelum ini tidak digunakan secara meluas kerana faktor kos yang tinggi dan tidak praktikal digunakan dalam semua bidang apalagi bagi kegunaan rumah.
Bermula pada 1960-an, teknologi LED digunakan secara kecil-kecilan kerana kos bergandanya berbanding sistem pencahayaan sedia ada pada waktu itu.
Bagaimanapun, keadaan berubah kira-kira 10 tahun kemudian apabila semakin ramai mengetahui kebaikan dan kecanggihan teknologi ini.
Penggunaannya kini semakin diperluas dan teknologinya dipertingkatkan lagi dengan Philips Lighting yang menerajuinya memperkenalkan lebih 30 produk di bawah syarikat dipayunginya antaranya Lumileds dan Color Kinetics.
LED menghasilkan cahaya tidak panas dan paling penting mempunyai ciri menjimatkan kos kerana mampu bertahan kira-kira 50,000 jam berbanding 1,000 jam bagi mentol biasa dan mampu menjimatkan 75 peratus tenaga.
Memberi contoh di Amerika Syarikat saja, penggunaan teknologi baru dalam pencahayaan itu menjimatkan US18 bilion setiap tahun dan angka ini cukup besar selain penjimatan tenaga yang pastinya memberi kesan besar kepada alam sekitar.
Sehubungan itu, Philips Lighting yakin penggunaan teknologi itu mampu mencapai US30 bilion dalam tempoh 15 tahun.
Provoost ketika ditanya wartawan selepas memberi ucapan ketika menyambut wakil media daripada beberapa negara di seluruh dunia untuk melawat ruang pameran Philips Lighting di Pameran Pencahayaan Antarabangsa (LFI) di New York baru-baru ini, mengenai perluasan produk teknologi itu di rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia, beliau yakin ia akan diterima luas dalam tempoh 16 hingga 18 bulan lagi.
Beliau optimis bahawa LED akan mencapai kos yang mampu dimiliki selepas penggunaannya diperluaskan di seluruh dunia dan yang lebih penting katanya, teknologi mesra alam itu pasti memenuhi kehendak dan keinginan seluruh penduduk dunia kini yang mahu bumi didiami dan diwarisi kepada generasi akan datang sentiasa terpelihara.
Malah sudah ada beberapa negara di rantau ini menggunakan LED antaranya di Singapura dan Provoost yakin, teknologi itu akan mudah diterima pakai di Malaysia.
Lebih menarik katanya, beberapa kajian dijalankan dan mendapati penggunaan pencahayaan LED memberi perbezaan dalam banyak bidang antaranya mengubah sikap dan perangai manusia.
Kajian menunjukkan pencahayaan itu memberi suasana natural yang memberi kesan positif kepada pekerja pejabat yang secara tidak langsung meningkatkan produktiviti mereka.
Di Jerman, kajian menunjukkan kecekapan membaca di kalangan pelajar juga meningkat kepada 35 peratus dengan kadar ketepatannya sebanyak 45 peratus.
Malah kajian itu juga menunjukkan pelajar yang agak 'liar' juga boleh dijinakkan jika dikelilingi suasana yang dilimpahi cahaya berteknologi terbabit.
"Pencahayaan memang mampu meningkatkan kehidupan manusia dan kualiti dalam hidup mereka, di mana mereka tinggal, tempat kerja mereka dan lokasi mereka mencari hiburan" kata Proovost.
Beliau mengakui, Philips Lighting memang agresif dan terus menjadi peneraju dalam bidang pencahayaan apalagi dalam LED kerana percaya perubahan demi mewujudkan suasana dunia dan kehidupan manusia yang lebih baik perlu sentiasa dilakukan.
Di LFI, Philips Lighting menguasai sebahagian besar lot ruang pameran yang memang mengenengahkan teknologi terkini dalam bidang pencahayaan.
Pameran itu menarik pengunjung terdiri daripada mereka yang terbabit dalam bidang berkenaan di seluruh dunia dan menjadi acara tahunan yang sangat dinantikan.
0 comments:
Post a Comment