DreamSpark realisasi impian
>> Monday, June 1, 2009
MICROSOFT Malaysia mengumumkan pelaburan sebanyak RM3.045 bilion dalam bentuk inisiatif DreamSpark untuk memajukan kemahiran teknologi serta inovasi di kalangan 870,000 pelajar negara ini.
Pelaburan DreamSpark adalah langkah susulan komitmen Microsoft Malaysia menerusi program BizSpark yang mengetengahkan kemampuan syarikat dan usahawan tekno di negara ini tahun lalu.
Ia menjadikan Microsoft Malaysia sebagai pelabur perisian terbesar sejak enam bulan kebelakangan ini.
Pengarah Urusannya, Yasmin Mahmod, berkata inisiatif DreamSpark yang dilancarkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (MoHE) membekalkan pelajar akses percuma kepada perkakasan Microsoft.
"Ia termasuk perkakasan bagi rekaan seperti Visual Studio Pro, Expression Studio, XNA Game Studio2.0, SQL Server Developer Edition dan banyak lagi dari portfolio syarikat kami," kata Yasmin.
Katanya, DreamSpark dijadikan sebahagian komitmen bagi memastikan masa depan pelajar lebih terjamin terutama melalui teknologi yang secara tidak langsung membangunkan modal insan di kalangan masyarakat.
"Inisiatif terbabit membolehkan pembelajaran yang mengikut standard industri semestinya memudahkan mereka sebaik melangkah ke alam pekerjaan," katanya selepas pelancaran program DreamSpark baru-baru ini.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata aset paling penting di kalangan rakyat Malaysia ialah pembangunan insan yang perlu diutamakan seterusnya mencipta inovasi.
"Kami mengharapkan kerjasama dengan Microsoft menghasilkan teknologi serta inovasi yang memaparkan keupayaan negara ini dalam sektor teknologi," katanya.
0 comments:
Post a Comment