AHLAN WA SAHLAN......


Assalamulaikum wbrt...


Terima kasih kerana sudi melawat blog saya yang tak seberapa ini..semoga blog ni dapat memberikan anda serba sedikit maklumat yang berguna. Kalau ada yang terkurang dan cacat cela tu, maaflah yer.... segala komen dan pandangan anda mengenai blog ini amat saya harapkan...

SYUKRAN........

HAVE A NICE DAY....



~~~~L CHANGE THE WORLD~~~~


Assalamulaikum wbrt... Selamat Datang kepada semua pengunjung sekalian.... jangan bimbang semasa melayari blog ini.... paling kurang pun komputer anda akan.... kena virus dan kena format... heheheeee.. gurau jer!! :-) HAVE A NICE DAY

Evolusi Sebatang Pen

>> Sunday, December 21, 2008

DALAM zaman serba moden, teknologi telah menghasilkan pelbagai alat keperluan manusia yang ditambah baik dari segi kegunaan dan fungsinya.




Rakaman audio mampu dikendalikan pengguna dengan efisien menerusi ikon yang didatangkan pada setiap helaian kertas yang terdapat pada buku khas disediakan.



Ini bagi memastikan pengguna mampu memanfaatkan fungsi tambahan yang diselaraskan pada sesuatu perkakas itu bagi mempermudahkan serta meringkaskan tugasan mahupun proses kehidupan manusia sejagat.

Pelbagai pembaharuan teknologi dalam lingkungan era digital masa kini merancakkan lagi proses penyepaduan digital dijalankan terhadap alat-alat keperluan manusia.

Baru-baru ini, penulis telah diberi peluang untuk menguji guna sebatang pen digital yang berkemampuan untuk memberikan fungsi tambahan sekali gus dijangka mampu membuat anda teruja dengan perkembangan proses penyepaduan digital hari ini.

Kemunculan Livescribe Pulse Digital Smartpen (Pulse Smartpen) itu secara tidak langsung membantu merevolusikan fungsi penggunaan pen konvensional yang sedia ada hanya digunakan untuk menulis.

Pen Pulse Digital itu merupakan sebatang pen pintar yang mampu merekodkan data bukan sahaja menerusi catatan, malah pada masa sama berkeupayaan untuk merakamkan bunyi audio.

Secara ringkas, pen pintar yang membawa moto jualan, Never Miss A Word itu membolehkan pengguna yang sering mengambil nota untuk membuat catatan dengan lengkap tanpa perlu merisaukan tentang sebarang fakta yang tertinggal.

Ini kerana, Pulse Smartpen yang hadir dengan teknologi pengecaman tulisan (handwriting recognition) itu membenarkan audio yang dirakam untuk diselaraskan dengan catatan nota yang dibuat pada sebuah buku khas yang disediakan.

Ini bermakna, pengguna hanya perlu mencatatkan kata kunci dan fakta yang penting pada helaian kertas yang disediakan semasa kuliah ataupun ketika menemubual seseorang.

Bagaimanapun, segala catatan yang dibuat perlu dilakukan ke dalam buku yang disediakan kerana setiap helaian kertas yang terdapat dalam buku itu didatangkan dengan titik mikro (micro-dot) kecil.

Titik mikro itu berfungsi membantu pen pintar tersebut mengenal pasti tulisan pengguna seterusnya memperdengarkan rakaman berhubung fakta yang dicatatkan secara tepat.

Lebih menarik, ikon seperti butang yang terdapat pada mesin perakam suara boleh didapati pada setiap bahagian bawah helaian kertas yang ada pada buku itu.

Dalam erti kata lain, imej seperti butang main, ulang kembali, henti, rekod dan banyak lagi tertera di bahagian bawah kertas khas itu.

Ini bertujuan bagi membolehkan pengguna mengendalikan rakaman serta memperdengarkan kembali nota yang dicatatkan dengan menyentuh mata pen itu terhadap ikon-ikon yang tertera.

Di samping itu, penulis turut teruja dengan fungsi-fungsi tambahan yang mampu dilakukan oleh pen pintar tersebut seperti keupayaan untuk dijadikan sebagai kalkulator, penterjemah bahasa dan juga piano mini.

Menyentuh aspek teknikal, pen tersebut dipacu menerusi sistem pemproses Samsung ARM 9 dengan kelajuan 32-bit, 150 MHz yang bertindak mengawal sistem operasi pen tersebut.

Selain itu, pada bahagian atas pen tersebut, ia didatangkan dengan pembesar suara yang membenarkan kesan audio dirakamkan dan juga diperdengarkan.

Dalam pada itu, menerusi kamera infra merah yang terbina dalam, Pulse Smartpen nyata mampu mengecam tulisan dengan pintar seterusnya mengenal pasti sama ada ia adalah abjad ataupun nombor yang dituliskan pengguna.

Pengguna pasti terpesona dengan kemudahan kalkulator yang disediakan kerana pengguna hanya perlu menulis angka yang ingin dikira ke atas buku khas, seterusnya mendapatkan jawapannya pada paparan OLED yang terdapat pada bahagian tengah pen itu.

Proses pengiraan pengguna menjadi lebih mudah dan tepat dengan kehadiran platform yang dibangunkan oleh Livescribe itu.

Dari sudut rekaan pula, pen sepanjang 155 milimeter (mm) dan berdiameter 16 mm itu sangat kompak dan didapati sangat mudah untuk dibawa ke mana-mana.

Pen pintar tersebut yang dibina berasaskan kerangka aluminium itu nyata tidak berat dengan hanya seberat 36 gram.

Buat masa ini, pen tersebut didatangkan dengan dua model yang dibezakan menerusi saiz memori yang iaitu 1Gigabait (GB) dan 2GB.

Bagi pen yang mempunyai keluasan ruang simpanan memori 1GB, ia berkeupayaan untuk merakam sehingga 100 jam rakaman, manakala bagi 2GB pula ia mampu menyimpan rakaman audio digital sehingga mencapai 200 jam rakaman.

Kehadiran ruang memori ini juga membolehkan audio disimpan dalam pen tersebut sebelum dipindahkan kepada komputer pengguna menerusi kemudahan sambungan USB disediakan.

Pada masa yang sama, menerusi sambungan USB yang dibuat pada komputer itu, pen tersebut akan dicas secara automatik bagi memastikan pen itu sedia untuk digunakan pada setiap masa.

Kehadiran pen pintar tersebut yang disasarkan bagi para pelajar dan ideal bagi golongan seperti wartawan, peguam, arkitek dan sebagainya, diyakini berupaya untuk membantu mempermudahkan proses mencatatkan nota dengan ringkas, pantas dan efisien.

Kini, pen tersebut yang merupakan produk Livescribe Inc., sudah boleh didapati di pasaran tempatan menerusi pengedar sah iaitu BIG'ant (M) Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat milik K-One Technology Bhd.

Orang ramai boleh mendapatkan pen tersebut pada harga yang ditawarkan RM688 bagi 1GB dan RM799 untuk pen berkapasiti 2GB.

Maklumat dan spesifikasi lengkap boleh didapati dengan melayari laman web www.livescribe.com

0 comments:

  © Blogger template Mr.L by http://borntobehacker.blogspot.com/ 2008

Back to TOP